SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di Jalan Utara Batu 4, di sini, kira-kira jam 5.45 pagi tadi.
Mangsa mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan, untuk mendapatkan rawatan di Zon Merah.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan oleh pegawai perubatan bertugas.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang melintas jalan untuk ke seberang sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.
Menurutnya, kenderaan terbabit dipercayai melarikan diri selepas kejadian tanpa memberikan bantuan kepada mangsa.
Katanya, polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengesan kenderaan serta pemandu yang terbabit dalam kejadian berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta tampil membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Faiz menerusi talian 089-242222 sambungan 127.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-DAKWAT RAKYAT POST.
