KUALA LUMPUR: Seramai 25 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) dalam Operasi Penguatkuasaan (Ops Gegar) di sekitar Jalan Changkat, Bukit Bintang, awal pagi semalam.
Operasi yang bermula kira-kira jam 1.20 pagi itu menyasarkan wanita warga asing dan dilaksanakan dengan kekuatan 35 pegawai Imigresen pelbagai pangkat, selain mendapat kerjasama 16 pegawai Pasukan Taktikal Khas (PASTAK).
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seramai 25 individu diperiksa dan kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Pecahan warga asing yang ditahan melibatkan 14 individu dari benua Afrika, enam warga Myanmar dan lima warga Kemboja.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial, melanggar syarat pas serta tinggal lebih masa.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Kuala Lumpur bagi menjalani proses siasatan dan tindakan lanjut.
Mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM WPKL menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu, pemilik premis atau majikan yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen menerusi saluran rasmi jabatan bagi membantu usaha penguatkuasaan.-DAKWAT RAKYAT POST
