GERIK: Dua individu maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 49, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, kira-kira jam 1.15 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad bin Othman berkata, mangsa yang maut ialah pemandu kereta Honda Civic, seorang wanita berusia 36 tahun dan penumpang lelaki berusia 45 tahun yang duduk di bahagian belakang.
Menurutnya, seorang lagi penumpang wanita berusia 41 tahun yang berada di bahagian hadapan mengalami kecederaan patah tulang rusuk, manakala pemandu lori Isuzu berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan sedang bergerak dari arah Jeli menghala ke Gerik dengan membawa dua penumpang, manakala lori terbabit dalam perjalanan dari arah bertentangan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dipercayai hilang kawalan selepas melalui selekoh ke kiri sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang sedang bergerak di laluannya.
“Pelanggaran itu membabitkan bahagian hadapan sebelah kanan kereta dengan bahagian kanan lori,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Samad berkata, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia disahkan maut di tempat kejadian sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat yang dijadualkan pada jam 10 pagi, 18 November 2026.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berpunca daripada kereta yang hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.
Kedua-dua kenderaan yang terlibat turut ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengamalkan pemanduan berhemah dan bertanggungjawab demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.-DAKWAT RAKYAT POST
