TAWAU: Pesakit kanser dinasihatkan supaya tidak mengutamakan rawatan alternatif atau perubatan kampung sehingga mengabaikan pemeriksaan awal dan rawatan perubatan moden.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, masih terdapat pesakit yang memilih mendapatkan rawatan kampung terlebih dahulu sebelum menjalani pemeriksaan bagi mengenal pasti tahap sebenar penyakit dihidapi.
Menurutnya, tindakan melengahkan pemeriksaan boleh menyebabkan pesakit kehilangan peluang mendapatkan rawatan sewajarnya pada peringkat awal.
“Lebih baik kita melaksanakan pemeriksaan awal untuk mengetahui keadaan dan tahap penyakit sebelum memikirkan usaha rawatan yang ingin dilakukan.
“Jika ingin mendapatkan rawatan alternatif, terpulang kepada kepercayaan dan keyakinan masing-masing, tetapi kita perlu memastikan segala usaha rawatan yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Kesedaran Kanser Payudara Tawau 2026 di Hospital Tawau, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rina turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan lambakan produk kesihatan yang dipromosikan menerusi media sosial, khususnya yang mendakwa mampu merawat pelbagai penyakit termasuk kanser.
Katanya, strategi pemasaran yang menarik boleh menyebabkan pengguna mudah terpengaruh sehingga mengabaikan aspek keselamatan dan keberkesanan produk sebelum menggunakannya.
“Sebagai pengguna, kita kadangkala mudah leka dengan promosi dan strategi pemasaran sehingga terlupa untuk menilai secara rasional dan logik terhadap produk yang digunakan.
“Sebab itu, masyarakat perlu lebih peka terhadap ubat-ubatan dan produk kesihatan yang diambil, termasuk memastikan penggunaannya mendapat jaminan serta kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Beliau berkata, intervensi berterusan oleh agensi kerajaan penting bagi membendung penjualan produk makanan dan kesihatan yang tidak mematuhi standard ditetapkan kerana dikhuatiri boleh memburukkan keadaan pesakit.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat mendapatkan maklumat kesihatan daripada sumber yang sahih serta mengutamakan pemeriksaan dan nasihat doktor sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan rawatan.-DAKWAT RAKYAT POST
