PAPAR: Seramai 19 individu berdepan detik cemas apabila bas persiaran yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas ke bahu jalan di Jalan Bukit Kimanis-Keningau, tengah hari tadi.
Dalam kejadian itu, empat mangsa dilaporkan tersepit di dalam bas sebelum berjaya dikeluarkan oleh orang awam, manakala 15 individu lain mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.34 tengah hari sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai enam anggota dari BBP Kimanis bersama dua anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) BBP Papar dikerahkan bagi menjalankan operasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.58 tengah hari dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 19 individu.
“Empat mangsa yang dilaporkan tersepit berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala 15 lagi mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera dengan bantuan petugas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi turut mendapat kerjasama pihak polis dan KKM bagi memastikan semua mangsa menerima bantuan sewajarnya.
Maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa serta punca sebenar kemalangan masih belum diperoleh dan dalam siasatan.-DAKWAT RAKYAT POST
