OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Seorang pemandu jengkaut dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh seorang wanita di kawasan semak ladang kelapa sawit di Tingkayu, Kunak, tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap Roger Pasague Cullano, 54, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Visaya ketika prosiding pengurusan kes pra perbicaraan (PTCM).
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Jun 2025 dan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Roger yang juga warga Filipina itu mengaku membunuh Abigail Diego Mandi, 44, di kawasan semak Ladang Ample Land Tingkayu, Kunak, antara jam 9.30 hingga 10.15 pagi, pada 13 Jun 2025.
Dia disabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.
Berdasarkan fakta kes, anak mangsa cuba menghubungi mangsa pada jam9.26 pagi untuk mengutip biji sawit sebelum datang sendiri ke lokasi ibunya bekerja.
Bagaimanapun, mangsa tidak ditemukan sebaliknya terserempak dengan tertuduh berhampiran lokasi berkenaan dalam keadaan badan berlumpur dan terdapat kesan darah di bahagian pipi serta memegang sebilah parang panjang.
Pencarian mangsa mula dijalankan dan mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di bawah timbunan pelepah pokok kelapa sawit di kawasan semak dengan beberapa kesan luka di bahagian kepala termasuk muka.
Ketika ditemukan, seluar mangsa terbuka hingga paras lutut manakala bajunya terbuka hingga paras dada.
Hasil soal siasat, tertuduh mengaku membunuh mangsa kerana tidak berpuas hati terhadap wanita itu.
Polis turut merampas sebilah parang dan pakaian yang dipakai tertuduh ketika kejadian berdasarkan maklumat serta pandu arahnya.
Bedah siasat pada 15 Jun 2025 oleh Pakar Patologi Forensik, Dr Dzureena Abdul Muttalib, menemukan beberapa kesan luka tetakan di bahagian dada, kepala, wajah dan kedua-dua belah tangan mangsa.
Pemeriksaan turut menemukan kesan tikaman pada dada, bahagian epigastrik dan belakang serta beberapa kesan lebam pada tubuh mangsa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillany Siji, memohon penjara 30 hingga 35 tahun terhadap tertuduh dan menyatakan perbuatan tertuduh itu telah meragut nyawa seorang ibu dan menyebabkan trauma kepada anak mangsa yang menemukan mayat ibunya.
Menurutnya, pembunuhan dan serangan terhadap mangsa dilakukan secara kejam dan tiada faktor yang meringankan seperti ketidaksempurnaan akal, provokasi secara tiba-tiba.
Sementara peguam tertuduh, Kamarudin Mohmad Chinki dalam mitigasinya memohon mahkamah supaya tidak menjatuhkan hukuman mati, sebaliknya mengenakan hukuman penjara minimum yang diperuntukkan undang-undang, iaitu 30 tahun bermula dari tarikh tangkapan, tanpa sebatan berikutan tertuduh sudah berusia lebih 50 tahun.
Beliau berhujah, tertuduh menerima bahawa kesusahan keluarga tertuduh tidak dapat mengatasi kehilangan yang ditanggung keluarga mangsa.
Namun katanya, usia tertuduh, tahap pendidikan yang terhad, latar belakang sosial, tanggunganjawab terhadap keluarga dan kekesalannya atas kematian mangsa masih relevan dalam menentukan hukuman.-DAKWAT RAKYAT POST
