KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 26 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dihempap pokok tumbang yang turut menghempap sebuah lori di Setia Eco Templer, Selayang, hari ini.
Mangsa yang tersepit di bawah pokok berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba pada jam 2.35 petang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.19 petang.
Susulan itu, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 2.28 petang.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati sebatang pokok tumbang menghempap sebuah lori jenis Isuzu dan motosikal jenis Yamaha Nmax.
“Seorang mangsa lelaki iaitu penunggang motosikal didapati tersepit dan tidak sedarkan diri, lalu kerja-kerja mengeluarkan mangsa segera dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ashrul berkata, kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang turut selesai dijalankan selepas mangsa berjaya dikeluarkan.-DAKWAT RAKYAT POST
