KALIMANTAN UTARA Badan Narkotika Nasional Provinsi (BNNP) Kalimantan Utara berjaya membongkar rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menghubungkan Tawau, Malaysia, Kalimantan Utara dan Sulawesi Selatan, Indonesia menerusi satu sidang media khas yang diketuai Ketua BNNP Kalimantan Utara, Brigedier Jeneral Polis Abdul Hasyim.
Sidang media itu diadakan sebagai usaha memastikan ketelusan penyampaian maklumat kepada umum selain memperlihatkan komitmen pihak berkuasa membanteras kegiatan pengedaran dadah di wilayah berkenaan.
Dalam pendedahan itu, BNNP Kalimantan Utara memaklumkan kejayaan menggagalkan kegiatan pengedaran dadah jenis syabu seberat 28,434.61 gram atau kira-kira 28.4 kilogram (kg) berat bersih.
Selain itu, pihak berkuasa turut merampas 200 unit kartrij etomidate seberat 384.55 gram berat bersih yang dikategorikan sebagai narkotik golongan II di Indonesia.
Sidang media berkenaan turut dihadiri pegawai kanan BNNP Kalimantan Utara, Ketua BNNK Tarakan dan Ketua BNNK Nunukan serta wakil media nasional dan tempatan.
BNNP Kalimantan Utara menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha bersepadu jajarannya dalam membanteras rangkaian pengedaran dadah yang mengancam keselamatan masyarakat, khususnya golongan muda.
Dalam pada itu, pihak berkuasa menyeru masyarakat supaya terus memainkan peranan membantu usaha pencegahan dan pembanterasan penyalahgunaan serta pengedaran dadah bagi merealisasikan aspirasi Kalimantan Utara Bersih Narkoba (Bersinar). -SATU BORNEO
