PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti beberapa dakwaan dikemukakan ahli perniagaan, Bachar Kiwan seperti dilaporkan Sarawak Report sejak 16 Ogos 2026.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, siasatan itu dilaksanakan susulan arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mahu penelitian menyeluruh dibuat bagi menentukan tindakan dan langkah sewajarnya.
SPRM turut menjelaskan bahawa pertemuan pegawai suruhanjaya itu dengan Bachar Kiwan sebelum ini adalah sebahagian daripada proses siasatan biasa bagi meneliti serta mengesahkan maklumat berkaitan usaha pemulihan aset kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut kenyataan itu, setiap perbincangan berkenaan turut dihadiri wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) dan tidak bermaksud SPRM mengiktiraf sebarang tuntutan atau status Bachar Kiwan.
Suruhanjaya itu turut menjelaskan bahawa Bachar Kiwan tidak dikategorikan sebagai individu yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, dan perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepadanya ketika pertemuan pada 2 Disember 2025.
Berhubung dakwaan mengenai ganjaran dan pembahagian hasil pemulihan aset, SPRM menegaskan dokumen berkenaan hanyalah draf terma yang dikemukakan pihak ahli perniagaan itu dan tidak pernah dipersetujui atau ditandatangani oleh suruhanjaya.
Mengenai isu pelantikan peguam, SPRM menjelaskan pihaknya tidak terlibat kerana perkara itu di luar bidang kuasanya, manakala hak melantik peguam terletak sepenuhnya kepada individu berkenaan. Keputusan firma guaman untuk menarik diri juga dibuat oleh firma itu sendiri.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bachar Kiwan selepas berjaya memperoleh dokumen rasmi dan rekod sah melalui permintaan Bantuan Perundangan Bersama atau Mutual Legal Assistance (MLA) kepada pihak berkuasa Kuwait.
Justeru, maklumat yang ditawarkan oleh ahli perniagaan itu tidak lagi menjadi keperluan utama dalam siasatan berkenaan.
Pada masa sama, SPRM turut merakam percakapan ahli perniagaan, Albert Tei yang hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini bagi membuat aduan berkaitan isu tersebut.
SPRM memaklumkan pihaknya terbuka menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu kepada agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Suruhanjaya itu juga bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan agensi berkenaan demi memastikan setiap dakwaan diteliti secara telus dan berlandaskan undang-undang.-DAKWAT RAKYAT POST
