KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang disyaki cuba mencuri kabel di kawasan Stesen Jinjang, Laluan Putrajaya, ditahan semula oleh Polis Bantuan Prasarana awal pagi tadi.
Menurut kenyataan media Rapid KL, suspek dikesan melakukan aktiviti mencurigakan susulan tindakan syarikat itu mempertingkat pemantauan dan rondaan keselamatan di kawasan operasi rel.
Suspek sebelum ini pernah ditahan pada 3 November lalu kerana disyaki menceroboh kawasan landasan dan dipercayai terbabit dalam cubaan mencuri kabel antara Stesen Mutiara Damansara dengan Stesen Bandar Utama di Laluan Kajang.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan yang sebelum ini diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan.
Susulan penahanan terbaharu di Stesen Jinjang, suspek sekali lagi diserahkan kepada pihak PDRM untuk siasatan lanjut.
Rapid KL memaklumkan, pihaknya menggandakan kekerapan pemantauan dan rondaan keselamatan berikutan beberapa insiden kecurian kabel, khususnya di kawasan landasan serta lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Usaha itu turut merangkumi pemeriksaan berkala dan pengukuhan kerjasama dengan PDRM bagi membanteras kegiatan pencerobohan serta kecurian kabel di kawasan operasi rel.
Menurut Rapid KL, perbuatan menceroboh dan mencuri kabel bukan sahaja boleh membahayakan keselamatan, malah berpotensi merosakkan infrastruktur rel serta menjejaskan kelancaran perkhidmatan dan perjalanan harian penumpang.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak memasuki kawasan larangan dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar kawasan operasi Rapid KL.-DAKWAT RAKYAT POST
