PAPAR: Seorang kakitangan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Papar-Beaufort, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 46 tahun dipercayai dalam perjalanan dari arah Papar menuju ke Membakut untuk ke tempat kerja.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Hospital Papar.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pemeriksaan awal di lokasi mendapati terdapat kesan kerosakan pada bahagian belakang motosikal jenis Honda yang ditunggang mangsa.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kemalangan itu turut membabitkan kenderaan lain yang masih belum dikenal pasti.
“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, termasuk menentukan sama ada mangsa terbabas sendiri atau dilanggar kenderaan lain.
“Polis kini giat mengesan kenderaan yang mungkin terbabit selain mendapatkan maklumat daripada saksi bebas bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan sekitar waktu kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
Maklumat boleh disalurkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor El Najeeb Abdul Rhahman menerusi talian 016-8813880.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Heryan turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan, khususnya ketika memandu pada waktu malam serta awal pagi.-DAKWAT RAKYAT POST
