BELURAN, 15 November 2026 – Kerajaan Sabah bercadang memperluaskan kemudahan Geran SME-UP kepada sektor perkhidmatan menerusi Belanjawan Negeri 2027 bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan tempatan mendapatkan sokongan kewangan untuk mengembangkan perniagaan.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan berkenaan dijangka membuka ruang kepada pengusaha dalam pelbagai bidang termasuk pelancongan, peruncitan serta perkhidmatan profesional untuk menikmati kemudahan bantuan kerajaan itu.
Menurutnya, ketika ini Geran SME-UP yang disalurkan menerusi Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) lebih tertumpu kepada sektor pembuatan dan perkilangan, khususnya bagi membantu pembelian mesin serta peralatan pemprosesan produk.
Bagaimanapun, pihak kementerian menerima banyak permohonan dan maklum balas daripada pengusaha sektor perkhidmatan seperti klinik, firma guaman, perakaunan serta peruncitan yang turut memerlukan sokongan bagi memperkukuh dan memperluaskan operasi perniagaan masing-masing.
Ewon berkata, sektor perkhidmatan juga perlu diberi perhatian kerana berperanan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah, walaupun kebanyakan perniagaan dalam bidang itu tidak menggunakan mesin pemprosesan produk.
Beliau yakin cadangan peluasan bantuan berkenaan akan dimasukkan dalam Belanjawan Negeri 2027 sebelum diperkenalkan kepada usahawan yang layak.
Katanya, kriteria permohonan akan ditetapkan dan diperincikan sebagai panduan kepada pengusaha sektor perkhidmatan yang ingin mendapatkan bantuan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mini Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Sabah 2026 Edisi Beluran, pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, Ewon yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah dijadual mempengerusikan mesyuarat pertama majlis berkenaan pada 18 November ini.
Mesyuarat itu dijangka membincangkan beberapa perkara berkaitan kepentingan golongan penjaja dan peniaga kecil, termasuk bantuan keusahawanan, urusan permit, lesen serta penyediaan premis perniagaan.
Menurutnya, isu berkenaan memerlukan penyelarasan dan kerjasama antara pelbagai kementerian serta agensi kerajaan bagi memastikan keperluan usahawan dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Sementara itu, penganjuran HPPK Sabah 2026 di Beluran merupakan lokasi pertama daripada empat lokasi yang telah ditetapkan di negeri ini.
Program berkenaan akan diteruskan di Kota Marudu dan Putatan sebelum menutup siri penganjurannya di Kota Belud. – DAKWAT RAKYAT POST
