TAWAU: Tidak perlu menunggu sakit atau berdepan gejala serius, wanita di seluruh Sabah kini boleh mendapatkan perkhidmatan saringan kanser payudara secara percuma menerusi klinik kesihatan, termasuk di kawasan pedalaman.
Malah, pihak hospital turut turun padang menerusi program jangkauan luar (outreach) bagi memastikan wanita di kawasan sukar diakses tidak tercicir daripada mendapatkan pemeriksaan awal.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, usaha itu dilaksanakan secara berterusan setiap tahun bagi memperluas akses masyarakat terhadap perkhidmatan pengesanan awal kanser payudara.
Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sahaja membabitkan pemeriksaan kesihatan, malah turut disertai kempen kesedaran bagi menggalakkan lebih ramai wanita tampil menjalani saringan.
“Saringan percuma ini memang kita laksanakan di klinik kesihatan, termasuk di kampung-kampung. Pihak hospital juga turun ke lapangan menerusi program outreach untuk melaksanakan pemeriksaan dan kempen kesedaran.
“Kerajaan sentiasa bersedia melaksanakan program seperti ini dan ia dilakukan secara konsisten setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Kesedaran Kanser Payudara Tawau 2026 di Hospital Tawau, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Hospital Tawau, Dr Norlimah Arsad.
Dalam pada itu, Rina mendedahkan antara 60 hingga 80 kes kanser payudara dikesan di Hospital Tawau sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan hampir separuh membabitkan pesakit yang pertama kali didiagnosis.
Lebih membimbangkan, katanya, sebahagian pesakit hanya mendapatkan pemeriksaan ketika kanser sudah berada pada tahap ketiga dan ke atas, sekali gus menyukarkan proses rawatan.
Katanya, stigma dan ketakutan terhadap penyakit itu masih menyebabkan wanita mengambil sikap tunggu dan lihat, malah ada yang tidak menghadiri temu janji pemeriksaan.
“Masih ramai wanita yang melambat-lambatkan pemeriksaan awal kerana stigma dan ketakutan terhadap kanser payudara.
“Sebab itu kempen kesedaran perlu dilaksanakan secara konsisten bagi meningkatkan keyakinan wanita untuk tampil menjalani pemeriksaan lebih awal,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada pesakit kanser, termasuk kemudahan rumah transit Pink Heaven yang ditaja Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Katanya, kemudahan itu membantu pesakit dari luar Kota Kinabalu, termasuk Tawau, Sandakan dan Semporna yang perlu mendapatkan rawatan kanser di ibu negeri.
Bantuan lain turut disalurkan menerusi program kebajikan pihak hospital, wakil rakyat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Rina turut mengingatkan kaum lelaki supaya tidak mengambil mudah soal kesihatan wanita dalam keluarga, sebaliknya memainkan peranan menggalakkan isteri, ibu dan ahli keluarga menjalani pemeriksaan berkala.
Beliau berkata, pengesanan awal penting dan wanita tidak seharusnya menunggu sehingga muncul gejala serius sebelum mendapatkan pemeriksaan.-DAKWAT RAKYAT POST
