KOTA KINABALU: Kegiatan pengedaran produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi di Sabah terbongkar menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Op Padu) yang membawa kepada rampasan lebih 53,000 produk bernilai kira-kira RM500,000.
Operasi yang dijalankan di 11 premis sekitar Sabah hari ini itu turut disifatkan sebagai rampasan terbesar seumpamanya di negeri ini sepanjang tahun.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Asniza Alias berkata, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil pemantauan dan risikan selama hampir enam bulan terhadap pembekal serta penjual produk terbabit.
Beliau berkata, daripada keseluruhan rampasan, sebanyak 27,910 produk farmaseutikal disyaki tidak berdaftar, manakala 2,663 produk disyaki mengandungi racun berjadual dan 23,101 lagi merupakan produk kosmetik disyaki tidak bernotifikasi.
Antara produk yang dirampas termasuk antibiotik, ubat antikulat, ubat penahan sakit, pil perancang keluarga serta produk yang disyaki mengandungi hidrokuinon dan steroid.
Menurut Asniza, penggunaan produk berkenaan tanpa pengawasan doktor atau ahli farmasi boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan, termasuk kerosakan buah pinggang, ketidakseimbangan hormon, pendarahan usus dan kerintangan antibiotik.
Op Padu membabitkan 60 anggota penguat kuasa farmasi dari seluruh negara dengan kerjasama kira-kira 50 anggota daripada enam agensi penguatkuasaan lain.
Katanya, siasatan kini diteruskan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta saluran kemasukan produk berkenaan ke pasaran Sabah.
Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Asniza mengingatkan peniaga supaya memastikan produk farmaseutikal yang dijual mempunyai nombor pendaftaran MAL serta hologram keselamatan Farmatag, manakala produk kosmetik perlu mempunyai notifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Orang ramai pula dinasihatkan menyemak status sesuatu produk menerusi aplikasi MyUbat atau laman sesawang Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum membuat pembelian bagi mengelakkan penggunaan produk yang tidak mematuhi peraturan.-DAKWAT RAKYAT POST
