JOHOR BAHRU: Polis Daerah Johor Bahru Selatan mengambil serius dakwaan tular membabitkan seorang individu dipercayai anggota polis yang didakwa meminta wang RM100 daripada seorang lelaki di kawasan KSL, di sini.
Dakwaan itu mula mendapat perhatian selepas seorang wanita memuat naik hantaran menerusi aplikasi Threads yang mendakwa suaminya ditahan individu tidak berpakaian seragam polis ketika melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 10.40 malam.
Menurut hantaran tersebut, individu terbabit didakwa meminta wang RM100 atas alasan suaminya melakukan kesalahan jalan raya, selain mengugut untuk mengambil telefon bimbit lelaki berkenaan sekiranya wang itu tidak diberikan.
Wanita itu turut mendakwa telefon bimbit suaminya diperiksa dan fungsi perkongsian lokasi dimatikan tanpa pengetahuannya.
Menerusi hantaran sama, wanita berkenaan meluahkan rasa kecewa kerana wang RM100 yang didakwa diambil itu diperlukan bagi membeli ubat-ubatan untuk rawatan penyakit kronik yang dihidapinya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Azrul Hisham bin Mohd Shaffei berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, penyalahgunaan kuasa atau perbuatan yang melanggar undang-undang dan peraturan pasukan sekiranya perkara itu terbukti berlaku.
Sehubungan itu, beliau menyeru individu yang terlibat supaya tampil membuat laporan polis bagi membolehkan dakwaan berkenaan disemak dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan fakta serta keterangan yang diperoleh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Hotline Polis IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk membantu siasatan.
Dalam masa sama, masyarakat dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan salah faham dan menjejaskan proses siasatan.
Bagaimanapun, tinjauan yang dilakukan pada jam 11.40 malam mendapati hantaran berkenaan tidak lagi tersedia di platform Threads.-DAKWAT RAKYAT POST
