TAWAU: Suasana di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bertukar hiba seketika apabila satu-satunya plaintif awam yang memfailkan saman sivil RM190 juta bersama enam bekas pegawai dan anggota perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), menangis di kandang saksi ketika menceritakan bagaimana dia didakwa diarah berbogel, dipukul dan ditampar semasa direman.
Keterangan Vivien Fabian, 38, turut mengundang sebak dalam kalangan peguam dan orang awam yang hadir apabila dia mendakwa anak-anaknya dibawa untuk dilihatnya melalui cermin gelap bagi memberi tekanan kepadanya supaya mengaku terbabit dalam kes pembunuhan pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, tiga tahun lalu.
Vivien mendakwa dua pegawai polis berada di dalam bilik soal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau ketika itu, iaitu seorang pegawai wanita dan seorang pegawai lelaki berketurunan India.
Katanya, pegawai wanita berkenaan kemudian mengarahkan beliau untuk menanggalkan pakaiannya.
“Pada mulanya saya diminta mengaku dan dipaksa berada di tempat kejadian yang dimana kes pembunuhan berlaku di ladang kelapa sawit, tapi saya tidak mahu kerana saya memang tidak terbabit dalam kes pembunuhan mangsa.
“Sepanjang reman, saya diugut, dipaksa dan mereka (pihak polis) menggunakan anak-anak saya dan memberi saya peluang melihat anak saya dari cermin gelap dan saya tahu mereka membawa anak-anak untuk memberi tekanan kepada saya.
“Saya kemudian dibawa bertemu suami saya (John Kennedy Anak Sanggah) di bilik soal siasat dan saya tengok ada kertas putih yang terletak di atas meja, mereka mahu saya menghafal apa yang ada dalam kertas berkenaan.
“Saya tidak mahu mengikut arahan kerana saya tahu apa yang ada dalam kertas itu ialah bahawasanya saya dan juga rakan-rakan (plaintif) yang lain berada di tempat kejadian iaitu untuk membunuh Nurman Bakaratu.
“Saya membuka baju saya satu persatu sampailah saya bogel habis dan saya diarahkan mencangkung sambil menghadap ke arah dinding,” katanya.
Vivien berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan peguamnya, Datuk Ram Singh, dalam pemeriksaan utama berhubung dakwaannya dibogelkan semasa dalam tahanan reman.
Beliau juga tidak membantah arahan membuka pakaian kerana berasa takut dan tidak tahu apa lagi yang akan dilakukan terhadapnya jika ingkar arahan.
Beliau juga tidak pasti sama ada pegawai polis lelaki itu masih berada di dalam bilik ketika beliau menanggalkan pakaiannya kerana ketika itu beliau menghadap ke arah dinding.
Vivien mendakwa pegawai lelaki berkenaan turut menutup matanya dengan pelitup muka sebelum menampar di bahagian telinganya menggunakan kedua-dua belah tangan.
“Selepas itu, pegawai wanita itu kemudian mengarahkan saya menghadap ke arah pintu sebelum memukul bahagian belakang badan kira-kira 10 hingga 15 kali,” jelasnya.
Ditanya sama ada beliau membuat laporan polis berhubung kejadian itu, beliau mendakwa tidak membuat laporan semasa direman kerana takut dan tidak tahu hak beliau untuk membuat laporan polis.
Beliau hanya membuat demikian semasa berada di Penjara Tawau selepas merujuk kepada peguam yang baru dilantik untuk mewakili dirinya.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber, Vivien tidak bersetuju dengan cadangan bahawa pihak polis tidak menggunakan paksaan fizikal atau mental untuk memaksanya menuduh sesiapa.
Ketika dirujuk kepada pernyataan saksi dan tuntutannya, Vivien mengesahkan pegawai penyiasat menampar di bahagian muka, ditendang, dipukul di bahagian belakang serta dadanya termasuk dibogelkan.
Vivien turut bersetuju bahawa beliau tidak mengadu kepada Majistret berhubung dakwaan ditampar atau dianiaya ketika dihadapkan ke mahkamah pada 29 Januari 2023 dan tidak diarahkan menjalani pemeriksaan di hospital pada tarikh itu serta ketika dihadapkan sekali lagi pada 4 Februari 2023.
Beliau juga menolak cadangan SFC bahawa pegawai polis yang dinamakan sebagai defendan dalam saman sivilnya tidak pernah mengeksploitasi atau menggunakan anak-anaknya sebagai alat pemerasan atau penyiksaan psikologi.
Cadangan Mardziatun berhubung dakwaan penganiayaan, serangan, dipaksa membuka pakaian dan eksploitasi anak-anaknya direka serta dibesar-besarkan untuk menyokong saman sivil itu tidak disokong oleh Vivien.
Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa tuntutannya bagi RM20 juta ganti rugi am, RM10 juta ganti rugi teladan, ganti rugi khas dan permohonan maaf terbuka tidak berasas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos membenarkan saksi ke-14 itu dilepaskan selepas selesai memberi keterangan.-DAKWAT RAKYAT POST
