MIRI: Seorang lelaki mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Pan Borneo Miri-Bintulu, di sini, pada isnin.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.35 tengah hari, 16 November lalu.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pasukan PDRM yang dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun dari arah Miri menuju ke Bintulu.
Siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas tayarnya pecah dan meletup, sehingga mengakibatkan kemalangan.
Akibat kejadian itu, pemandu terbabit mengalami kecederaan ringan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Mohd Faizal bin Moktar menerusi talian 012-818 6509 atau 085-430479, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini serta membahayakan pengguna lain.-DAKWAT RAKYAT POST
