KOTA KINABALU: DCP Datuk Abdul Fuad Abdul Malek kini menerajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) selepas mengambil alih tugas sebagai Komander ESSCOM daripada CP Datuk Victor Sanjos.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Victor yang sebelum ini memegang jawatan Komander ESSCOM, menyerahkan tanggungjawab berkenaan selepas dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah pada 11 November lalu.
Beliau menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang bersara wajib daripada jawatan berkenaan.
Abdul Fuad sebelum ini bertugas sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Terdahulu, Hajiji turut menyaksikan acara pemakaian pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) kepada Abdul Fuad yang disempurnakan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Haji Hassan Basri.
Dalam perkembangan berasingan, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Panglima Armada Timur, Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Dato’ Ahmad Shafirudin Abu Bakar.
Ahmad Shafirudin merupakan Panglima Armada Timur ke-7 dan secara rasmi mengambil alih kepimpinan MPA Timur pada 20 Oktober lalu, menggantikan Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi Idris.-DRP
