IPOH: Seorang lelaki tempatan disahkan meninggal dunia selepas berlaku insiden berbalas tembakan antara suspek dan pasukan polis di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, suspek maut selepas pasukan polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri ketika menjalankan rondaan cegah jenayah samun di sekitar Ipoh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar a/l S. Muthuvelu berkata, kejadian berlaku ketika anggota JSJ Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bertindak menahan sebuah kenderaan yang dipandu suspek.
Menurutnya, suspek bertindak keluar dari kenderaan untuk melarikan diri sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.
“Pasukan polis telah membalas tembakan untuk menyelamatkan diri sehingga tiada lagi ancaman keselamatan.
“Suspek warga tempatan itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira jam 3.40 pagi. Sepucuk senjata api jenis pistol turut ditemukan berhampiran suspek,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh meningkat sehingga 20 tahun sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, berkaitan perbuatan melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang, yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Kumar berkata, kes masih dalam siasatan polis dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan serta memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat.
Sehubungan itu, satu sidang media dijadualkan berlangsung pada jam 3 petang ini di IPK Perak bagi memberikan penjelasan lanjut berhubung insiden berkenaan.-DRP
