PAPAR: Seorang pemandu lori berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang mengorbankan seorang lelaki warga emas di Kilometer 28, Jalan Kimanis-Keningau, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa berusia 64 tahun maut selepas kereta Proton Persona dipandunya merempuh bahagian sisi sebuah lori jenis Sinotruk.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari Keningau menuju ke rumahnya di Pengalat ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun itu pula datang dari arah bertentangan sebelum dipercayai membelok ke kanan untuk memasuki satu simpang.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kiri lori berkenaan.
“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa tersepit di dalam kereta dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.
Katanya, pemandu lori berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
Dalam pada itu, Heryan mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum membelok atau memasuki simpang, khususnya pada waktu malam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor EL Najeeb Abdul Rhahman menerusi talian 016-881 3880 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.-DRP
