OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini hari ini, atas 22 pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan matan palsu berhubung kuantiti gas petroleum cecair (LPG) yang harus dibekal dan edar ke pusat jualan luar bandar atau pedalaman (Point Of Sale), sejak tahun 2021 hingga 2023.
Tertuduh, Mohd Zikri Sundu, 50 dan Mohd Ichsan Abd Muis, 35, membuat pengakuan itu atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A. Dadi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama-sama memberikan dokumen tuntutan perkhidmatan membekal dan mengedar LPG bagi Program Penyeragaman Harga sejak Mei 2021 hingga Februari 2023 kepada dua pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tawau.
Dokumen itu didakwa mengandungi butiran palsu berhubung kuantiti LPG yang dihantar ke pusat jualan luar bandar atau pedalaman (Point Of Sales), iaitu sebanyak 33,284 tong sedangkan kuantiti sebenar yang dihantar hanya 28,072 tong.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan bagi sebutan semula pada 14 Januari 2027.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Abdul Gani Zelika.-DRP
