JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera di kepala, tangan dan kaki selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru Uda, di sini.
Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, manakala pemandu kereta terbabit, lelaki tempatan berusia 70 tahun, dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Azrol Anuar bin Nor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang pada 18 November lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta Myvi berkenaan sedang bergerak di lorong paling kiri dari arah Johor Bahru menuju ke Jalan Jagong, Bandar Baru Uda.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, seorang kanak-kanak dipercayai tiba-tiba melintas jalan dari arah kiri ke kanan.
“Pemandu kenderaan terbabit dikatakan tidak sempat mengelak sebelum melanggar kanak-kanak berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai atau tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 serta penjara sehingga 12 bulan.
Dalam pada itu, polis mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan, terutama ketika melalui kawasan laluan pejalan kaki.
Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya memantau pergerakan serta keselamatan anak-anak ketika melintas jalan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Hamizan Akmal bin Affandi menerusi talian 013-8720640.-DRP
