Editorial
TANGKAK: Polis mengenal pasti tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 November 2026, kira-kira jam 12.09 tengah malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 13 November lalu, sekitar jam 8 pagi, di dalam sebuah kelas dan kawasan pondok sekolah.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan perbualan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp yang menimbulkan rasa tidak puas hati antara pelajar terbabit.
“Mangsa mendakwa ditendang, ditumbuk dan disepak berulang kali oleh ketiga-tiga pelajar berkenaan di beberapa bahagian badan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kiri kepala, dada, perut serta lengan kiri.
Roslan berkata, hasil tindakan pantas polis berjaya mengenal pasti ketiga-tiga pelajar terbabit dan mereka telah diambil tindakan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli dan keganasan, khususnya yang melibatkan golongan pelajar.
Katanya, penggunaan kekerasan bagi menyelesaikan perselisihan faham bukan tindakan wajar kerana boleh menyebabkan kecederaan serta menjejaskan keselamatan mangsa.
Sehubungan itu, ibu bapa dan pihak sekolah diseru supaya sentiasa peka terhadap tingkah laku serta pergaulan anak-anak selain tidak memandang ringan sebarang aduan berkaitan perbuatan buli.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian berkenaan, khususnya maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak terlibat.- DRP
