Editorial
MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita di sebuah bilik sewa di Kuala Baram, Senadin, di sini, pada 12 November lalu.
Suspek ditahan sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada kira-kira jam 9.08 malam, 17 November lalu.
Ketua pasukan operasi, ASP Goldy Anak Jangan, berkata tangkapan dilakukan di tingkat satu sebuah bangunan kedai di Bandar Baru Permyjaya, Tudan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki bilik sewa mangsa sebelum cuba melakukan perbuatan rogol serta mengugut untuk menikam wanita berkenaan menggunakan sebilah pisau.
Suspek turut dipercayai melarikan beberapa barangan milik mangsa termasuk kad pengenalan, telefon bimbit, wang tunai dan beg tangan.
Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan mendapati suspek memasuki bangunan kira-kira jam 8.17 pagi sebelum meninggalkan lokasi pada jam 8.30 pagi selepas mangsa menjerit meminta pertolongan.
Hasil siasatan lanjut selepas tangkapan membawa kepada rampasan beberapa barangan dipercayai berkaitan kes berkenaan, termasuk pakaian, sebilah pisau lipat dan sekeping kad pengenalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Polis Daerah Miri mengingatkan orang ramai bahawa rakaman CCTV memainkan peranan penting dalam membantu siasatan, mengenal pasti serta mengesan individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-433400 atau balai polis berhampiran.-DRP
