SANDAKAN: Seramai 755 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dipindahkan ke negara asal menerusi program pemindahan melalui laut dari Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga City, Filipina, pada 19 November lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan itu dilaksanakan menggunakan kapal MV Antonia 1 dan membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar serta Sandakan.
Menurutnya, program berkenaan merupakan siri keempat pemindahan melalui laut bagi tahun ini dan siri ke-208 secara keseluruhan sepanjang 2026.
Daripada jumlah 755 tahanan terbabit, seramai 669 orang merupakan lelaki dewasa, 63 perempuan dewasa, 14 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan berusia antara enam bulan hingga 69 tahun.
Kanak-kanak yang terlibat turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing sepanjang proses pemindahan.
Pada hari sama, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah turut melaksanakan pemindahan melalui udara membabitkan 12 tahanan dewasa dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar.
Mereka terdiri daripada 10 lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga India dan seorang perempuan warga Vietnam. Kesemua tahanan dibawa melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke negara asal masing-masing.
Secara keseluruhan, seramai 10,006 tahanan PATI pelbagai warganegara telah dipindahkan ke negara asal setakat ini.
Jumlah itu merangkumi 7,670 warga Filipina, 1,960 warga Indonesia, 153 warga Pakistan, 156 warga China, 30 warga Vietnam serta 37 tahanan daripada negara lain termasuk India.
Beliau berkata, semua tahanan yang dipindahkan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan yang sah, termasuk Travel Document atau Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP).
Sehubungan itu, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah berharap Kedutaan Filipina dapat mempercepatkan proses pengeluaran dokumen perjalanan bagi membolehkan penghantaran pulang tahanan dilaksanakan dengan lebih segera.
Usaha itu penting bagi memastikan pengurusan tahanan berjalan lancar selain mengurangkan kesesakan di depot imigresen di Sabah.
Dalam pada itu, majikan di negeri ini, khususnya dalam sektor perladangan, disaran menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi merekod dan mengurus keberadaan pekerja asing secara lebih teratur.
Inisiatif berkenaan dijangka membantu menangani masalah dokumentasi serta isu lambakan PATI di Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap majikan yang melindungi pekerja asing tanpa permit atau dokumen sah.
Majikan yang didapati melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi PATI.-DRP
