KUALA LUMPUR: Lima bagasi tanpa pelekat saringan keselamatan mencetuskan kecurigaan yang membawa kepada penemuan dadah 96.6 kilogram (kg) dalam cubaan penyeludupan di Pangkalan Udara Subang, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Selasa lalu.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris, berkata anggota bertugas menyedari beg-beg berkenaan tidak melalui proses saringan yang diwajibkan, sekali gus mendorong pemeriksaan lanjut dijalankan.
“Seorang anggota Cawangan Pergerakan Udara yang sedang menjalankan rondaan rutin menemukan bagasi itu bersama sebuah kotak berhampiran kawasan ketibaan dan tuntutan bagasi.
“Kelima-lima beg itu dibalut dengan plastik dan tidak mempunyai pelekat yang menunjukkan ia sudah melalui saringan keselamatan.
“Kotak yang berada bersama bagasi itu pula mengandungi enam botol berlabel baja kimia, yang juga dilarang untuk dibawa masuk ke dalam pesawat,” katanya kepada New Straits Times.
Muhamad Norazlan berkata, bagasi berkenaan kemudiannya dibawa ke mesin pengimbas, tempat anggota keselamatan dari unit Pertahanan Udara dan Darat (HANDAU) TUDM mengesan bungkusan mencurigakan yang disusun rapi di dalamnya.
“Siasatan turut mendapati pegawai terbabit sebahagian daripada kru yang mengendalikan penerbangan logistik. Beliau dipanggil untuk membuka beg-beg itu bagi tujuan pemeriksaan fizikal.
“Apabila dimaklumkan bagasi itu tidak melepasi saringan keselamatan, pegawai berkenaan didakwa cuba mengelak daripada membawa beg-beg itu menaiki pesawat dan sebaliknya ingin memulangkannya ke dalam keretanya,” katanya.
Norazlan berkata, anggota HANDAU tidak membenarkan tindakan berkenaan dan bertegas supaya beg-beg itu dibuka untuk diperiksa.
“Memandangkan pegawai terbabit tidak mempunyai kunci, seorang anggota HANDAU membantu membuka beg-beg berkenaan menggunakan pisau.
“Pemeriksaan menemukan bungkusan merah yang terkoyak mengandungi bahan menyerupai kristal yang disyaki dadah.
“Penemuan itu segera dilaporkan melalui rantaian pemerintahan HANDAU sebelum Cawangan Siasatan Jenayah Zon Tengah dimaklumkan,” katanya.
Pemeriksaan susulan mendapati bahan berkenaan disyaki syabu.
“Kami memaklumkan kepada pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang tiba di lokasi pada 5.20 petang untuk menjalankan ujian saringan awal.
“Ujian mendapati bahan-bahan itu positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan MDMA,” katanya.
Norazlan berkata, polis merampas semua lima beg berkenaan serta kotak yang mengandungi botol baja itu sebagai bahan bukti.
“Dua pegawai ditahan di Pangkalan Udara Subang, manakala seorang lagi pegawai ditahan di Pangkalan Udara TUDM Labuan pada hari sama bagi membantu siasatan.
“Tiga lagi pegawai dan sembilan anggota pangkat lian yang terdiri daripada anggota HANDAU, unit provos dan kru udara turut dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan polis dan TUDM berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan aset ketenteraan, dengan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM di Subang dan Labuan.
Penahanan itu susulan pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai dakwaan pembabitan anggota tentera, termasuk juruterbang TUDM serta pegawai berpangkat leftenan dan kapten dalam aktiviti itu.
Kredit sumber: Berita Harian
