KAPIT: Empat remaja perempuan ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian memukul seorang gelandangan menggunakan selipar yang dirakam dalam video berdurasi 22 saat sebelum tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Rohana Anak Nanu berkata, kesemua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit di kawasan Sungai Yong, Nanga Tisa, di sini, pada 20 November 2026.
Menurutnya, penahanan itu dilakukan susulan maklumat yang diterima pihak polis berhubung kejadian berkenaan.
Dalam operasi sama, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk merakam insiden tersebut bagi membantu siasatan lanjut.
Semakan awal mendapati keempat-empat suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini ditahan di lokap Balai Polis Kapit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Rohana berkata, siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan komen yang boleh menjejaskan siasatan atau memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Kapit menerusi talian 084-766222.
Pihak polis turut menghargai kerjasama masyarakat dalam membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini.-DRP
