PULAU PINANG: Tiga premis perniagaan di sekitar Pulau Pinang diarahkan tutup selepas didapati beroperasi tanpa lesen sah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi tahun 2026 menerusi OPS TEGAS, pada 19 November lalu.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), tindakan penguatkuasaan itu melibatkan pemeriksaan di Jalan Oldham, Tanjung Bungah, Jalan Sungai dan Jalan Tun Dr. Awang, Bukit Jambul.
Operasi yang bermula kira-kira jam 4.30 petang itu disertai 21 anggota daripada Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan serta Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP.
Pemeriksaan di premis Jalan Oldham, Tanjung Bungah mendapati aktiviti penjualan sirih dan minuman dijalankan tanpa lesen sah.
Pihak penguat kuasa turut menemukan tiga warga asing di premis berkenaan, termasuk seorang individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah. Kesemua mereka diarahkan keluar, manakala bahan mentah dan minuman yang ditemukan dilupuskan serta-merta.
Di sebuah kedai runcit di Jalan Sungai pula, pemeriksaan mendapati premis beroperasi tanpa lesen MBPP bagi tahun ini dan terdapat seorang pekerja warga asing di lokasi berkenaan.
Pengusaha premis memaklumkan bahawa permohonan lesen komposit masih dalam proses pengemukaan.
Sebuah lagi kedai runcit di Jalan Tun Dr. Awang, Bukit Jambul turut didapati tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah. Sepanduk perniagaan di premis itu diturunkan dan direkodkan dalam inventori sitaan.
Susulan pelanggaran yang dikenal pasti, MBPP melaksanakan tindakan penguatkuasaan termasuk arahan penutupan dan penyitaan (sealed-off) terhadap premis terbabit berdasarkan kesalahan masing-masing.
Pengusaha turut diberikan notifikasi bertulis dan diarahkan supaya tidak membuka atau merosakkan pita penghadang serta pengedap sitaan, selain dilarang memasuki premis bagi tujuan perniagaan sehingga isu kacau ganggu diselesaikan sepenuhnya.
MBPP memaklumkan tindakan itu dilaksanakan berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memberikan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga keselamatan, kesihatan dan keselesaan awam.
Majlis itu turut menegaskan bahawa penguatkuasaan akan diteruskan terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, melanggar syarat lesen atau melibatkan pengendalian premis oleh warga asing yang tidak mematuhi peraturan.
Usaha berterusan menerusi OPS TEGAS itu bertujuan memastikan aktiviti perniagaan dalam kawasan pentadbiran MBPP dijalankan secara sah, teratur dan mematuhi ketetapan demi kesejahteraan warga bandar raya.-DRP
