BANTING: Pelbagai produk kesihatan, kosmetik dan makanan berjenama dari China bernilai RM1.27 juta dirampas dalam satu operasi bersepadu di sebuah premis logistik di sini, pada 19 November lalu.
Operasi Op Taring Dosej yang dilaksanakan kira-kira jam 12.10 tengah hari itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki, termasuk seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik syarikat serta dua pekerja warga Bangladesh.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), SAC Datuk Mohd Zaki bin Ashar berkata, operasi berkenaan dijalankan menerusi kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.
Agensi yang terlibat termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Farmasi Negeri Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Klang, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat serta Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Menurutnya, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan pelbagai barangan yang disyaki melibatkan kesalahan di bawah beberapa perundangan berkaitan.
Antara barangan yang dirampas ialah 1,044 kotak pelbagai produk kesihatan dan kosmetik, 1,300 botol produk suplemen serta kesihatan, 38 kotak produk sup Tremella tulen dan 65 kotak produk koenzim Q10.
Turut dirampas pelbagai produk makanan dan minuman berasaskan teh serta makanan ringan.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1,271,802, dengan RM1,261,890 daripadanya melibatkan barangan di bawah tindakan KKM, RM4,745 oleh KPDN dan RM5,167 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat.
Selain rampasan, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat turut mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM4,500, manakala MPKL mengeluarkan dua kompaun bernilai RM2,000 atas kesalahan berkaitan.
Siasatan turut mengenal pasti beberapa kesalahan melibatkan Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Makanan 1983 dan peraturan berkaitan.
Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.
Mohd Zaki berkata, operasi bersepadu itu mencerminkan komitmen berterusan WCB/PSK, JKDNKA Bukit Aman dalam memperkukuh kerjasama strategik antara agensi bagi membanteras aktiviti penyimpanan dan pengedaran produk yang melanggar undang-undang.
Beliau menegaskan PDRM akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan serta risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran barangan yang menyalahi undang-undang, sekali gus melindungi kepentingan serta keselamatan pengguna.-DRP
