TAWAU: Sebanyak 16,000 naskhah al-Quran disumbangkan kepada sekolah rendah, sekolah menengah, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan anggota keselamatan menerusi Program Bayu Kasih 6.0 anjuran Pertubuhan Iman Care.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, sumbangan wakaf al-Quran bernilai RM16,000 itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 80 sekolah di kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan.
Menurutnya, sumbangan itu turut disalurkan kepada lebih 10 PASTI serta anggota keselamatan sebagai usaha memperluas penghayatan al-Quran dan menyemarakkan syiar Islam dalam masyarakat.
Beliau berkata, inisiatif Pertubuhan Iman Care yang berpangkalan di Terengganu itu wajar dihargai kerana sanggup datang dari jauh bagi menyampaikan sumbangan berkenaan kepada masyarakat di Pantai Timur Sabah.
“Kita amat berterima kasih kepada Pertubuhan Iman Care kerana memilih daerah Kalabakan dan Tawau untuk menyalurkan sumbangan wakaf al-Quran ini.
“Kita berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan syiar Islam serta memperluas dakwah ke seluruh pelosok daerah Kalabakan dan Tawau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan 16,000 Naskhah al-Quran kepada sekolah sekitar Kalabakan, di sini, hari ini.
Suryady berkata, pengagihan al-Quran ke sekolah di kawasan pedalaman akan dilaksanakan secara berperingkat bermula petang hari sama.
Katanya, penghantaran ke kawasan terpencil memerlukan perancangan rapi berikutan kekangan logistik, masa dan kos pengangkutan.
Sehubungan itu, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan turut bekerjasama membantu memastikan proses pengagihan berjalan lancar sehingga semua penerima memperoleh sumbangan berkenaan.
Menurutnya, Program Bayu Kasih yang memasuki edisi keenam itu turut membuktikan komitmen berterusan Pertubuhan Iman Care dalam melaksanakan misi wakaf al-Quran, dengan Sabah menjadi antara negeri yang menerima jumlah sumbangan tertinggi.
Beliau berharap kerjasama berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang, termasuk diperluaskan ke kawasan pedalaman dan lokasi terpencil yang memerlukan kemudahan al-Quran.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar Pertubuhan Iman Care terus diberikan kemampuan untuk melaksanakan lebih banyak program kebajikan dan dakwah, khususnya dalam usaha menyebarkan al-Quran kepada masyarakat yang memerlukan.-DRP
