Editorial
KUALA LUMPUR: Seorang majikan dikenakan kompaun berjumlah RM346,500 oleh Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) selepas didapati melindungi dan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
Selain kompaun berkenaan, majikan terbabit turut diberikan Surat Amaran Bertulis susulan kesalahan imigresen yang dikesan menerusi operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Segambut, Kuala Lumpur pada 27 Ogos lalu.
Hasil siasatan Unit Siasatan JIM WPKL mendapati majikan berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi 39 imigran.
Majikan itu turut didapati melanggar Seksyen 55B akta sama kerana menggaji 20 imigran tanpa pas yang sah.
JIM WPKL dalam satu kenyataan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan, pemilik premis atau pemilik perniagaan yang menggaji atau melindungi PATI.
Agensi itu turut memberi amaran bahawa tindakan perundangan maksimum akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang imigresen.
Tindakan tegas itu mencerminkan komitmen Jabatan Imigresen dalam membanteras kegiatan penggajian dan perlindungan PATI, selain memastikan undang-undang negara terus dipatuhi.- DRP
