Editorial
SERI ALAM: Seorang pembantu jualan wanita kerugian RM285,204.44 selepas menjadi mangsa penipuan panggilan telefon atau phone scam yang menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam,Superitendan Victor Genason dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak polis telah menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita tempatan berusia 45 tahun,semalam.
Menurut kenyataan itu, kejadian bermula pada 5 November lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum mendakwa mangsa mempunyai rekod jenayah berkaitan pengubahan wang haram.
Bagi meyakinkan mangsa, panggilan berkenaan kemudian disambungkan kepada individu lain yang kononnya merupakan pegawai polis berpangkat lebih tinggi untuk tindakan lanjut.
Mangsa seterusnya diarahkan memasukkan wang ke akaun bank yang diberikan suspek atas alasan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Terpedaya dengan helah itu, mangsa melakukan empat transaksi wang ke dalam dua akaun bank antara 5 hingga 7 November 2026, dengan jumlah keseluruhan RM285,204.44.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas tiada sebarang maklum balas diterima susulan pemindahan wang berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan panggilan telefon yang semakin berleluasa.
Antara langkah pencegahan yang disarankan ialah mengesahkan identiti pemanggil melalui nombor rasmi agensi berkaitan, tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada individu tidak dikenali serta mengelakkan daripada mempercayai panggilan mencurigakan.
Orang ramai juga boleh menggunakan portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi dan mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bagi mendapatkan maklumat mengenai modus operandi penipuan terkini.
Sekiranya menjadi mangsa penipuan, orang ramai diminta menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan segera bagi tindakan awal menyekat aliran keluar wang.-DRP
