Editorial
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah.
Operasi hasil kerjasama strategik JSJN Bukit Aman dan Cawangan Provos Marsyal TUDM pada 17 November lalu itu membawa kepada penahanan 11 individu, termasuk lima pegawai TUDM dan enam orang awam.
Pengarah JSJN, CP Dato’ Hussein Omar Khan berkata, beberapa siri operasi dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Labuan, Sabah, sehingga berjaya membongkar kegiatan sindiket berkenaan.
Dalam operasi itu, polis turut merampas 96.64 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta, selain 6.98 kilogram cecair bahan kimia.
Siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai aktif sejak Julai 2026 dengan menggunakan kemudahan pengangkutan udara tentera bagi menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.
Dua daripada enam individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penyelaras sindiket, manakala JSJN kini giat mengesan seorang lagi lelaki warga Malaysia yang dipercayai menjadi ketua sindiket berkenaan.
Kesemua lima pegawai TUDM yang ditahan direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November ini, manakala enam individu awam direman antara dua hingga lima hari bagi membantu siasatan.
Ujian saringan awal air kencing mendapati dua individu awam positif methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
JSJN turut menyita tiga kenderaan, masing-masing jenis Honda CR-V, Toyota Vios dan Land Cruiser dengan nilai keseluruhan RM172,062 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika disabitkan kesalahan.
Rampasan dadah itu dianggarkan berpotensi menjejaskan seramai 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan.
Dalam kenyataan sama, JSJN menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan kedudukan, kuasa atau kemudahan rasmi untuk kepentingan jenayah, tanpa mengira pangkat, jawatan atau organisasi yang diwakili.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222.- DRP
