SUBANG: Pemeriksaan rutin Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya membongkar penemuan dadah dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang, pada 17 November lalu.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin berkata, penemuan itu dikesan sendiri oleh petugas TUDM ketika menjalankan pemeriksaan terhadap bagasi yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM.
Menurutnya, pemeriksaan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berkala TUDM bagi memastikan organisasi itu bebas daripada kegiatan dadah dan penemuan kali ini adalah yang pertama seumpamanya sepanjang pemeriksaan rutin dilaksanakan.
Beliau berkata, sebaik menemui lima bagasi dan sebuah kotak yang mencurigakan, petugas TUDM segera melaporkan perkara itu kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM sebelum pihak berkenaan menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.
Pasukan PDRM tiba di lokasi kira-kira jam 5.20 petang pada hari sama dan mengesahkan bahan yang ditemukan sebagai dadah berbahaya.
Kesemua bagasi dan kotak berkenaan kemudian disita untuk dijadikan bahan bukti, manakala lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat ditahan bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan memandang serius kejadian itu dan TUDM telah menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan kepada PDRM untuk siasatan lanjut.
Katanya, TUDM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang proses siasatan dijalankan.
Beliau menegaskan Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang terbukti terlibat atau bersubahat.
Tambahnya, prinsip ketelusan dan akauntabiliti akan terus menjadi keutamaan kementerian dalam mengendalikan kes berkenaan.
Dalam pada itu, operasi pemeriksaan serta penguatkuasaan dalaman akan terus dipertingkatkan bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal bebas daripada kegiatan dadah.-DRP
