KEMAMAN: Seorang lelaki berusia 34 tahun maut selepas kereta Proton Saga dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam sungai berhampiran Sungai Mak Ikar, di Kilometer 119 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, pagi semalam.
Mangsa, Muhamad Hafiz Razali yang bekerja sebagai buruh ladang, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan luaran.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 5.40 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kerteh menuju ke Kemasik.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kiri lalu terbabas masuk ke dalam sungai.
Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 pagi daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.
Mangsa yang menetap di Taman Wan Adnan, Kerteh kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-DRP
