New York: Karya agung Vincent van Gogh terjual pada harga AS$190.4 juta (RM783.1 juta) sekali gus mencatat rekod jualan tertinggi bagi karya pelukis itu selepas pertikaian antara pihak penjual dengan waris pemilik terdahulu berketurunan Yahudi yang menjualnya ketika era Nazi diselesaikan.
Menurut Sotheby’s, lukisan Chataigniers en fleurs (Pokok Berangan Berbunga) yang dihasilkan pada 1890 di Auvers-sur-Oise, Perancis itu mencatatkan rekod baharu bagi pelukis pasca-Impresionis Belanda berkenaan, sekali gus menjadi karya seni paling mahal dilelong setakat musim ini.
Rekod lelongan terdahulu bagi lukisan Van Gogh ialah AS$117.2 juta (kira-kira RM482 juta) menerusi karya Orchard with Cypresses yang dihasilkan pada 1888 dan dilelong di Christie’s pada November 2022.
Penerbit berpengaruh Jerman, Samuel Fischer memperoleh lukisan itu di Paris pada 1909 sebelum keluarganya menjual karya terbabit pada 1936.
Waris Fischer sebelum ini membantah penjualan berkenaan dengan mendakwa keluarga itu terpaksa melepaskan lukisan terbabit kerana berhadapan kekangan kewangan ketika pemerintahan Nazi.
Peguam waris berkenaan yang berpangkalan di Berlin, Gunnar Schnabel sebelum ini menggesa Sotheby’s membuktikan lukisan itu dijual pada harga pasaran dan keluarga terbabit tetap akan menjualnya tanpa mengira keadaan politik ketika itu.
Menurut Sotheby’s, keluarga Blaquier-Arrieta memperoleh lukisan berkenaan pada 1975 dan memilikinya selama lebih setengah abad.
Bagaimanapun, pada Selasa, Sotheby’s memaklumkan bahawa perjanjian sudah dicapai antara keluarga Blaquier-Arrieta dengan semua waris sah Hedwig serta Samuel Fischer berhubung penjualan Chataigniers en fleurs itu.
Sotheby’s berkata, waris Fischer menyatakan penghargaan atas rundingan dan kerjasama yang berlangsung secara adil serta berasaskan kepercayaan dengan pihak rumah lelong itu dan keluarga Blaquier-Arrieta.
Mereka berkata, persetujuan berkenaan membolehkan penderitaan keluarga Fischer ketika era Nazi diiktiraf, selain menghormati usaha Gisela Berman Fischer memperjuangkan keadilan buat keluarganya.
Kredit sumber: AFP/Harian Metro
