Oleh: Salam Undong
TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Suryady Bandy menziarahi keluarga dua beradik yang maut dalam kebakaran di Taman Ria, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan kepada keluarga mangsa.
Dua kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian kebakaran sebuah rumah awal pagi tadi dikenal pasti sebagai Mohd Nor Fazryn Norman, 13, dan Nur Ailyn Nathania Norman, 10.
Menerusi kenyataan di Facebook, Andi Suryady menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang meragut nyawa kedua-dua beradik itu.
Beliau turut berharap seluruh keluarga mangsa diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh kedua-dua anak syurga ini dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beroleh syurga Allah SWT.
“Al-Fatihah,” katanya.
Kunjungan berkenaan turut mencerminkan keprihatinan beliau terhadap keluarga mangsa yang sedang melalui detik sukar susulan tragedi berkenaan.-DRP
