WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan pengampunan anumerta kepada legenda besbol Pete Rose, yang meninggal dunia pada 2024 ketika berusia 83 tahun.
Trump mengumumkan keputusan itu menerusi platform Truth Social dengan menyifatkan Rose sebagai salah seorang pemain terhebat dalam sejarah sukan berkenaan.
“Saya baru sahaja memberikan pengampunan penuh kepada mendiang Pete Rose, seorang bintang dan legenda sebenar besbol,” katanya.
Menurut laporan BBC, pengampunan itu diberikan walaupun Rose telah meninggal dunia, menjadikannya lebih bersifat simbolik kerana ia tidak mengubah sebarang hukuman yang telah selesai dilaksanakan sebelum ini.
Rose pernah mengaku bersalah pada 1990 atas dua pertuduhan mengemukakan penyata cukai palsu.
Beliau kemudian dijatuhi hukuman penjara lima bulan serta didenda selepas gagal melaporkan pendapatan berjumlah hampir AS$355,000 dalam tempoh empat tahun.
Selain isu cukai, nama Rose turut dikaitkan dengan kontroversi pertaruhan sukan yang membawa kepada larangan seumur hidup daripada Major League Baseball (MLB) pada 1989.
Siasatan liga ketika itu mendapati beliau bertaruh dalam perlawanan melibatkan pasukannya, Cincinnati Reds, ketika berkhidmat sebagai pemain dan pengurus antara 1985 hingga 1987.
Bagaimanapun, BBC melaporkan Rose telah dipulihkan semula statusnya oleh MLB tahun lalu, sekali gus membuka laluan untuk dipertimbangkan ke dalam Hall of Fame Besbol seawal 2028.
Sepanjang karier profesionalnya yang merangkumi 24 musim, Rose mencatat rekod 4,256 pukulan selamat (hits), jumlah tertinggi dalam sejarah MLB yang masih belum diatasi mana-mana pemain lain.
Trump turut mempertahankan pemain yang dikenali dengan gelaran “Charlie Hustle” itu dan mendakwa Rose sepatutnya sudah lama diberi tempat dalam Hall of Fame.
Pengampunan presiden di AS merupakan kuasa luas yang membolehkan seseorang diberikan keampunan undang-undang terhadap kesalahan persekutuan.
Namun, dalam kes Rose, langkah itu dilihat sebagai usaha memulihkan reputasi seorang tokoh sukan yang terus dikenang ramai peminat.
Menurut BBC, keputusan Trump itu turut menarik perhatian kerana pengampunan anumerta jarang diberikan, walaupun beberapa presiden AS sebelum ini pernah berbuat demikian dalam kes tertentu.
Kredit sumber: Agensi/Astro AWANI
