KOTA KINABALU: Pelarian seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, berakhir apabila dia berjaya ditahan polis di Jeti CIQ Tawau, kira-kira jam 11 pagi tadi.
Penahanan suspek dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selepas hampir seminggu dia diburu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, mengesahkan penahanan itu ketika dihubungi.
Beliau berkata, suspek akan dibawa ke IPD Kota Kinabalu oleh pasukan polis dari daerah berkenaan untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Pasukan polis dari IPD Kota Kinabalu akan ke Tawau bagi urusan membawa suspek kembali ke Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Penahanan itu turut mendapat perhatian apabila video memaparkan suspek diberkas anggota polis di kawasan jeti berkenaan tersebar di media sosial.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi Sabtu lalu, Mohd Soberi Bakri, 31, maut selepas mengalami kecederaan akibat ditikam di bahagian dada di tingkat satu bangunan Sulaman Sentral.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan seorang penjual makanan di sebuah kafe berhampiran lokasi kejadian.
Suspek yang dipercayai tidak berpuas hati dengan penjual makanan itu dikatakan mengejarnya menggunakan sebilah pisau sebelum mangsa cuba meleraikan pertelingkahan berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa kemudian ditikam di dada, manakala suspek melarikan diri dari lokasi kejadian.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa abangnya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi.
Sebelum ini, polis turut menahan tujuh lelaki warga tempatan berusia antara 18 hingga lingkungan 30-an di sekitar Manggatal bagi membantu siasatan kes berkenaan.-DRP
