KOTA KINABALU: Seramai 163 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menerusi 20 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negeri sepanjang 17 hingga 20 November 2026.
Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan terhadap 469 individu di beberapa lokasi strategik di seluruh daerah.
Daripada jumlah yang ditahan, warga Filipina mencatatkan angka tertinggi iaitu 103 orang, terdiri daripada 37 lelaki dewasa, 25 perempuan dewasa, 24 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan ialah 47 warga Indonesia membabitkan 25 lelaki dewasa, 18 perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Selain itu, seorang lelaki dewasa warga Pakistan serta 12 lelaki dewasa warga China turut ditahan dalam operasi berkenaan.
Menurut beliau, JIM Sabah akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi strategik seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
Masyarakat juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI melalui saluran rasmi JIM Sabah, iaitu portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) menerusi https://eapp.imi.gov.my.
Usaha penguatkuasaan berterusan itu penting bagi memastikan kawalan imigresen dan pematuhan undang-undang negara sentiasa terpelihara.-DRP
