Editorial
KLANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 519 warga asing dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dilaksanakan secara serentak di 34 lokasi perkilangan seluruh negara dari 18 hingga 20 November lalu.
JIM dalam satu kenyataan media memaklumkan,operasi berskala nasional itu menyasarkan premis perkilangan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran warga asing yang tinggi, berdasarkan aduan awam, maklumat risikan serta pemantauan penguatkuasaan.
Seramai 569 pegawai imigresen digerakkan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta pihak berkuasa tempatan.
Sepanjang operasi, seramai 1,702 individu diperiksa dengan 519 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Mereka yang ditahan berusia antara 22 hingga 56 tahun dan terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Nepal, Indonesia, India, China, Taiwan serta beberapa negara lain.
Di Klang, seramai 71 warga asing ditahan hasil pemeriksaan terhadap 131 individu di sebuah kilang memproses paku di sekitar Meru.
Operasi yang bermula kira-kira jam 6 petang itu dilaksanakan oleh pasukan penguatkuasaan Ibu Pejabat JIM Putrajaya.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, sebanyak 42 borang saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada warga tempatan di seluruh negara bagi membantu siasatan, termasuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap penggajian serta pengurusan pekerja asing di premis terbabit.
JIM menegaskan tindakan penguatkuasaan bukan sahaja tertumpu kepada warga asing yang melanggar undang-undang, malah turut menyasarkan majikan, pengendali premis dan mana-mana pihak yang menggaji, melindungi atau memudahkan pelanggaran undang-undang imigresen.
Pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan akan terus diperkukuh bagi memastikan tindakan lebih berfokus dan menyeluruh, khususnya terhadap pihak yang menjadi punca kepada ketidakpatuhan undang-undang imigresen.
Operasi di Meru, Klang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Dato’ Lokman Effendi Ramli, bersama Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Datuk Basri Othman.- DRP
