PONTIAN: Seorang lelaki yang mendakwa datang untuk menjenguk anaknya ditahan bersama bekas isteri selepas mereka disyaki berkhalwat dalam pemeriksaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah di daerah ini, kira-kira jam 1.40 pagi tadi.
JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, penahanan pasangan berusia lingkungan 30-an itu dilakukan susulan aduan awam yang diterima pihaknya.
Pemeriksaan di kediaman wanita berkenaan mendapati lelaki itu berada di dalam rumah bersama bekas isterinya. Dua anak mereka turut berada di situ dan sedang tidur di ruang tamu ketika pemeriksaan dijalankan.
Siasatan awal mendapati kedua-duanya bekerja di daerah berkenaan dan pernah menjadi pasangan suami isteri sebelum bercerai lebih setahun lalu.
Menurut JAINJ, lelaki terbabit memberi alasan kehadirannya adalah untuk menjenguk anak mereka.
Bagaimanapun, kunjungan pada awal pagi ketika anak-anak sedang tidur menimbulkan keraguan terhadap tujuan sebenar kehadirannya di rumah itu.
Dalam pada itu, pasangan berkenaan turut dinasihatkan supaya mempertimbangkan untuk kembali mendirikan rumah tangga melalui ikatan pernikahan yang sah sekiranya masih mempunyai perasaan antara satu sama lain.
Kedua-duanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.-DRP
