KLUANG: Perjalanan seorang pekebun lelaki berusia 46 tahun dari Renggam menuju ke bandar Kluang berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kilometer 5, Jalan Kluang-Teck Wah Heng, petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pagar zink di sebelah kanan jalan.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin bin Mohd Noh berkata, mangsa merupakan lelaki tempatan yang bekerja sebagai pekebun.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sehubungan itu, Polis Daerah Kluang menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, bertimbang rasa serta mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya, khususnya ketika musim hujan.-DRP
