SIK: Dua kanak-kanak masing-masing berusia satu tahun empat bulan dan tiga tahun maut selepas sebuah bangunan yang dijadikan rumah kelas A terbakar di Kampung Teloi Tua, di sini, awal pagi tadi.
Kedua-dua mangsa ditemukan di atas katil oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi pemadaman di lokasi kejadian.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik tiba di lokasi pada jam 6.27 pagi.
Pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan sebuah bangunan berukuran 20 x 10 kaki dengan anggaran kemusnahan sebanyak 90 peratus.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos dengan bekalan air daripada tangki jentera bomba dan pili bomba.
Operasi turut mendapat bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran serta agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kerja-kerja pemadaman dan overhaul turut dilaksanakan bagi memastikan keadaan di lokasi selamat.
JBPM Negeri Kedah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.-DRP
