KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia 36 tahun maut selepas motosikal Honda Dash yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 52.6 Lebuhraya Senai-Desaru, malam tadi.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof bin Hj Othman berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.32 malam.
Menurutnya, kemalangan berkenaan membabitkan dua kereta dan tiga motosikal.
Kenderaan terlibat ialah kereta Kia Forte dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun, Proton X70 dipandu wanita bukan warganegara berusia 28 tahun, motosikal Honda Dash ditunggang lelaki tempatan berusia 36 tahun, Yamaha 135LC ditunggang lelaki tempatan berusia 18 tahun serta motosikal Demak ditunggang lelaki tempatan berusia 73 tahun.
Dalam kejadian itu, dua lagi penunggang motosikal masing-masing dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Gudang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, kedua-dua pemandu kereta terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi menjalani prosedur siasatan.
Kes berkenaan masih dalam siasatan polis dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka, mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya demi menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.-DRP
