EDITORIAL
KAPIT: Jarak perjalanan kira-kira 400 kilometer dari bandar Sibu bukan penghalang buat Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd) untuk mendekati masyarakat pedalaman menerusi pelaksanaan Program Jiwa Murni (PJM) di Kampung Long Busang, Kapit, Sarawak.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 November itu membuktikan komitmen Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam menyantuni masyarakat serta membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan pedalaman.
Antara pengisian utama program ialah perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan (MEDCAP) dan Pemeriksaan serta Rawatan Pergigian (DENCAP) yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan sejak usia muda, pasukan 624 PGAT turut bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Long Busang, Belaga bagi mengadakan demonstrasi penjagaan gigi kepada murid-murid.
Kemuncak program menyaksikan kehadiran Panglima 9 Bgd, Brigedier Jeneral Dato’ Jafri Sulaiman yang turun padang menyantuni warga sekolah selain meninjau keadaan infrastruktur SK Long Busang sebagai persediaan pelaksanaan Projek Jiwa Murni pada masa hadapan.
Beliau bersama delegasi turut menghadiri Majlis Khatam Al-Quran dan Penutup KAFA Tahun 2026M / 1448H peringkat SK Long Busang di Masjid Darul Rahmah.
Pada majlis itu, beliau menyempurnakan penyampaian hadiah kepada murid Tahun Enam sebagai penghargaan atas pencapaian mereka sebelum melangkah ke alam persekolahan menengah.
Aspek kerohanian turut diberi perhatian apabila delegasi 9 Bgd menunaikan solat Jumaat bersama komuniti Islam setempat, selain diserikan dengan penyampaian khutbah khas oleh Guru Agama Pasukan daripada Skuadron Semboyan Briged Kesembilan Infantri.
Sementara itu, Ketua Kampung Hulu Long Busang, Tuan Haji Yusof bin Zawai, menzahirkan penghargaan kepada pihak 9 Bgd atas inisiatif membawa pelbagai kemudahan dan perkhidmatan terus kepada penduduk di kawasan pedalaman berkenaan.
Penganjuran Program Jiwa Murni itu bukan sahaja memberi manfaat dari aspek kesihatan dan pendidikan, malah memperkukuh hubungan silaturahim antara Tentera Darat Malaysia dengan masyarakat setempat.
Inisiatif berkenaan sekali gus mencerminkan peranan Angkatan Tentera Malaysia bukan sahaja dalam mempertahankan kedaulatan negara, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan rakyat tanpa mengira lokasi dan jarak geografi.- DRP.
