Oleh: Shyang Lim
IPOH: Seorang wanita dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di kawasan Waterfall Puncak Jelapang, Meru Raya, di sini, petang tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.14 petang.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya tiba di lokasi pada jam 5.32 petang, dengan jarak perjalanan kira-kira 10 kilometer.
Dalam kejadian itu, empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita dilaporkan terlibat.
Seorang wanita yang terperangkap di seberang sungai berjaya diselamatkan anggota bomba, manakala seorang lelaki yang dilaporkan dihanyutkan arus deras turut berjaya menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, seorang lagi wanita masih belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan.
JBPM memaklumkan keadaan arus sungai di lokasi masih deras, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat.
Operasi berkenaan melibatkan sembilan anggota bomba dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti Hilux.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mengelakkan aktiviti rekreasi di kawasan sungai dan air terjun, khususnya ketika cuaca tidak menentu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.- DRP
