KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal berusia 22 tahun maut selepas kenderaan ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Jalan Tuaran Batu 7, berhampiran Inanam Taipan, di sini, tengah hari tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan akibat pelanggaran yang berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan itu melibatkan motosikal Suzuki FU150 ditunggang mangsa dan sebuah Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 59 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan sedang bergerak lurus di lorong kiri sebelum dilanggar motosikal dari arah belakang.
“Impak pelanggaran berlaku pada bahagian belakang sebelah kanan kereta Perodua Axia berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Likas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk pemeriksaan lanjut.
Shahrudin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan.-DRP
