KUCHING: Dua pengunjung premis hiburan di sekitar Kuching ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 20 hingga 21 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan terhadap empat premis hiburan di sekitar bandar raya itu.
Menurutnya, seramai 13 individu terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita diperiksa dalam operasi berkenaan.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua individu positif dadah sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Alexson berkata, polis akan meneruskan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan premis hiburan tidak dijadikan lokasi aktiviti penyalahgunaan dadah.
Katanya, kejayaan operasi itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dalam membantu pihak polis membanteras kegiatan berkaitan dadah.
Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran, pemilikan atau kegiatan melindungi aktiviti dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta menyalurkannya menerusi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.-DRP
