KAPIT: Kejadian tanah runtuh di Country Height, Jalan Ulu Sungai, Kapit, hari ini menjejaskan kawasan perumahan baharu dan deretan kedai selepas tanah di lokasi berkenaan dilaporkan masih bergerak.
Menurut kenyataan Facebook rasmi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.41 petang.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi menjalankan penilaian awal mendapati runtuhan tanah dianggarkan berukuran 200 kaki lebar dan 700 kaki panjang.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Komander operasi mengarahkan anggota memasang sawar-sawar keselamatan di kawasan terjejas selain menasihatkan pemilik kedai supaya menutup premis masing-masing.
Dua penghuni rumah baharu turut dinasihatkan berpindah sebagai langkah keselamatan susulan keadaan tanah yang masih menunjukkan pergerakan.
Pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan di lokasi terkawal.
Operasi ditamatkan selepas pasukan bomba memastikan keadaan selamat sebelum bertolak balik ke balai.
Seramai enam anggota BBP Kapit terlibat dalam operasi itu dengan bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).-DRP
